U-Wei Bin HajiSaari
U-Wei bin Haji Saari mencipta nama melalui filem pertama Perempuan, Isteri dan … (1993), yang telah menobatkan beliau sebagai Pengarah Terbaik FFM 11. Filem beliau termasuklah, Jogho (1999), Kaki Bakar (2001), Buai Laju-Laju (2004) dan beberapa filem pendek. Filem terbaharu beliau Hanyut (2013), diadaptasi dari novel Joseph Conrad bertajuk Almayer’s Folly. Beliau merupakan pengarah Malaysia pertama dijemput ke Uncertain Regards pada tahun 1995 dan Director’s Fortnight pada tahun 2001 di Cannes. Beliau juga turut berpengalaman sebagai mentor kepada pembikin filem dari Iraq dan Hawaii untuk Griffith University, Brisbane, Australia dan di Sundance Films Workshop di Amar, Jordan.
Dr. Mahadi J. Murat
Mahadi bin J. Murat merupakan seorang pengarah filem, ahli akademik dan aktivis perfileman yang berpengalaman luas. Filem arahannya Sayang Salmah (1995) telah berjaya memenangi banyak anugerah di Festival Filem di dalam dan luar negara serta menaikkan namanya. Pernah berkhidmat di Universiti Malaya (UM), UiTM dan kini Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau sering diundang membentangkan kertas kerja dan menyampaikan ceramah, termasuk menjadi panel, pemudahcara dan moderator.
Adman Salleh
Adman bin Salleh adalah seorang pengarah yang berpengalaman melebihi 30 tahun dalam bidang pembikinan filem. Beliau telah mengarah filem Bintang Malam (1991), Amok (1995), dan Paloh (2003) yang banyak menerima anugerah di dalam dan di luar negara. Berkelulusan dalam bidang perfileman dari London International Film School, UK. Beliau adalah mantan Dekan Fakulti Filem dan Televisyen di ASWARA yang kini banyak terlibat dalam kerja-kerja penjurian dan penilaian filem serta aktif sebagai pensyarah sambilan.
Kamal Ariffin
Kamal bin Ariffin adalah graduan ijazah Sarjana Perfileman dari London Film School, United Kingdom yang kini sedang giat menjalankan kajian dalam bidang sinema Islamik. Antara minat dan skop kajian beliau adalah film genre, film form dan filem islamik. Selain melakukan kerja-kerja pengarahan, beliau turut terlibat sebagai tenaga kerja produksi dan pasca-produksi. Pengalaman beliau juga tidak terbatas kepada pembuatan filem konvensional malah beliau turut menceburi bidang animasi. Selain itu, beliau turut terlibat dalam bidang akademik sebagai penasihat, penilai, penceramah undangan dan pensyarah dalam bidang perfileman di institusi penggajian tinggi awam dan swasta.
Dr. Khairulfazi Hj. Saari
Khairulfazi bin Hj. Sa’ari mempunyai pengalaman mengajar dalam kursus perfileman, aktif dalam kerja perundingan dan penerbitan dokumentari. Berkelulusan ijazah Doktor Falsafah dalam pengajian filem dokumentari dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM, dan MA in TV Documentary and Feature dari University of Salford, UK. Beliau ditauliahkan sebagai panel NOSS dan berdaftar sebagai PIND dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dalam sektor Arts and Culture. Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Penasihat Teknikal (TAC) di Pusat Bertauliah Awam.
Profesor Dr. Rozainun Hj. Abdul Aziz
Rozainun binti Hj. Abdul Aziz P.M.K., Dekan Fakulti Perakaunan UiTM adalah seorang Akauntan Bertauliah CA (M), FCMA, CGMA, FCPA (Aust.), dan berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dari University of Salford, UK. Beliau merupakan Ahli Majlis Institut Akauntan Malaysian (MIA). Kepakaran beliau adalah pengurusan perakaunan dan pengurusan risiko, termasuk perakaunan forensik. Mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan melebihi 30 tahun. Aspirasi beliau adalah untuk melihat anak bangsa menjadi usahawan berjaya dan pakar dalam bidang yang diceburi.